Thursday, 15 September 2016 11:14

SPAAT - PERATURAN

Written by
Rate this item
(0 votes)

PERATURAN SKIM PINJAMAN AKADEMIK

ANAK TENTERA (SPAAT)

AM

1.       Skim Pinjaman Akademik Anak Tentera (SPAAT) merupakan satu skim bagi membantu meringankan bebanan kewangan warga ATM bagi membiayai anak-anak ke IPTA/IPTS.

TUJUAN

2.       Peraturan ini bertujuan menetapkan prosedur dan mekanisme pelaksanaan SPAAT supaya ia dapat dilaksanakan dengan licin dan teratur.

AHLI JAWATANKUASA

3.       Ahli Jawatankuasa SPAAT seperti di Kembaran A.

DANA TABUNG

4.       Dana Tabung ini disediakan daripada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).  

JENIS, PERINGKAT DAN TEMPAT PENGAJIAN

5.         Jenis.        Jenis pengajian tinggi yang dibenarkan adalah pengajian sepenuh masa.

6        Peringkat dan Tempat.     Pinjaman Skim ini dikeluarkan bagi pengajian di peringkat Matrikulasi, Asasi, A-Level, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di IPT awam dan swasta tempatan dan juga luar negara. IPT dan program pengajian yang diikuti hendaklah diiktiraf oleh Unit Pengiktirafan Kelayakan Bahagian Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

7.            Urusan Mendapatkan Tempat Di IPT.    Urusan memohon dan mendapatkan tempat di IPT adalah tanggungjawab pemohon.

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN

8.            Skim ini terbuka kepada anak-anak anggota  Angkatan Tetap ATM yang telah ditawarkan tempat di IPT dan ibu/bapa mereka berkemampuan untuk membayar balik pinjaman dalam tempoh yang dibenarkan di mana pinjaman tidak terhad kepada seorang anak sahaja. Had maksimum keseluruhan pinjaman adalah sebanyak RM 30,000.00 sahaja.

9.            Anak-anak anggota yang sedang mengikuti pengajian juga layak memohon sekiranya tidak menerima pinjaman atau biasiswa daripada mana-mana agensi kerajaan dan swasta, tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa SPAAT.

10.         Bagi pemohon yang telah mendapat pinjaman daripada TAPAT, mereka masih boleh memohon mendapatkan kemudahan di bawah Skim ini dengan syarat berkemampuan membayar balik keseluruhan jumlah yang dipinjam. Jumlah pinjaman bagi kedua-dua Skim ini dihadkan kepada RM 30,000.00.

11.         Pemohon hendaklah mempunyai baki gaji minimum ( bagi askar lasykar ) setelah mengambil kira bayaran balik pinjaman Skim ini. Baki gaji minimum mengikut pangkat adalah seperti berikut:

                  Pangkat Setaraf                         Baki Gaji Minimum

a.       Pegawai Waran                 -        RM 500.00.

b.      Staf Sarjan                      -        RM 400.00.

c.       Sarjan                            -        RM 350.00.

d.       Koperal ke bawah             -        RM 250.00.   

TATACARA PERMOHONAN PINJAMAN

12.         Borang Permohonan.  Permohonan pinjaman hendaklah dimajukan dengan menggunakan borang di Kembaran B. Setiap permohonan hendaklah disertakan slip gaji asal dan surat tawaran kursus berserta jadual yuran pengajian.

13.     Saluran Permohonan Pinjaman. Semua permohonan hendaklah dimajukan mengikut saluran melalui unit, Jabatan Arah/Cawangan (bagi Tentera Darat), Markas Perkhidmatan dan akhirnya kepada Jabatan Arah Pendidikan di Markas ATM. 

14.     Tapisan Permohonan.  Setiap permohonan akan ditapis oleh Jawatankuasa SPAAT berasaskan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan di atas.  

15.     Kuasa Kelulusan.  Jawatankuasa Eksekutif  TKAT. Kelulusan permohonan akan dimaklumkan oleh Sekretariat SPAAT kepada permohonan dan salinan kepada Perkhidmatan masing-masing.

BENTUK DAN KUANTUM PINJAMAN

16.     Bentuk.  Pinjaman yang dikeluarkan berbentuk pinjaman tanpa faedah dan dibayar balik secara ansuran bulanan melalui potongan gaji oleh UGAT.

17.     Kuantum Pinjaman.   Kuantum pinjaman maksimum diberikan mengikut salah satu kategori seperti berikut:

a.       Kategori A (Pinjaman Permulaan Pengajian)

         (1)     Diploma / Matrikulasi / Asasi / A-Level     -        RM 4,000.00

         (2)     Ijazah Pertama                                   -        RM 6,000.00

b.      Kategori B (Pinjaman Pembiayaan Penuh). Bagi anak-anak anggota yang tidak menerima biasiswa / pinjaman, kadar pinjaman adalah 80% daripada yuran pengajian atau RM 30,000.00 yang mana lebih rendah.

18.     Bagi peminjam yang telah mendapat pinjaman Kategori A, mereka masih boleh dipertimbangkan untuk pinjaman Kategori B. Jumlah pinjaman untuk kedua-dua kategori secara keseluruhannya tidak melebihi RM 30,000.00.

PENGELUARAN PINJAMAN

19.     Bagi permohonan yang berjaya, pinjaman akan dikeluarkan melalui cek atas nama pemohon (untuk Kategori A) dan atas nama IPT (untuk Kategori B). Bagi Kategori B, pengeluaran pinjaman dilaksanakan secara berperingkat (progressive payments) berdasarkan yuran yang dituntut oleh IPT. Dalam konteks ini, peminjam hendaklah mengemukakan invois/bil yuran pengajian daripada IPT kepada Jabatan Arah Pendidikan untuk disemak dan diproses bagi pembayaran.

20.     Berdasarkan kuantum pinjaman yang diluluskan, invois/bil tersebut seterusnya akan dimajukan oleh Jabatan Arah Pendidikan kepada Bendahari TKAT untuk urusan pengeluaran cek. Cek berkenaan akan dikeluarkan kepada peminjam atas nama IPT berkenaan.

BAYARAN BALIK PINJAMAN

21.     Bayaran Balik.   Tempoh bayaran balik maksimum adalah 36 bulan (untuk Kategori A) dan 60 bulan (untuk Kategori B). Walau bagaimanapun tempoh sebenar akan ditetapkan oleh Jawatankuasa SPAAT.

22.     Potongan Gaji.  Potongan gaji akan dilaksanakan dua bulan selepas bayaran pertama (cek pertama) dikeluarkan.

PENTADBIRAN DAN DOKUMENTASI

23.     Dokumentasi.    Jabatan Arah Pendidikan adalah penyelaras kepada pengurusan Skim ini.  Anggota yang ditawarkan pinjaman dikehendaki membuat proses dokumentasi di Sel Pengajian Tinggi, Jabatan Arah Pendidikan, Markas ATM.  Dokumen-dokumen yang perlu ditandatangani adalah:

a.       Perjanjian Pinjaman.   Peminjam dikehendaki menandatangani Perjanjian Pinjaman, borang di Kembaran C dan membayar duti setem perjanjian. Dalam hal ini:

(1)     Perjanjian adalah di antara pemohon dan TKAT yang diwakili oleh Pegawai Yang Diberi Kuasa iaitu Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif TKAT.

(2)     Perjanjian hendaklah disediakan dalam 5 salinan. Agihan seperti berikut:

(a)          Jabatan Arah Pendidikan.

(b)         Markas Perkhidmatan.

(c)          Jabatan Arah (Untuk Tentera Darat sahaja).

(d)          TKAT.

(e)          Pemohon.

b.      Surat Kebenaran Potongan Gaji.   Peminjam dikehendaki menandatangani surat kebenaran potongan gaji oleh UGAT menggunakan borang Kembaran D.

24.     Rekod Maklumat. Setelah menerima kuasa kelulusan, maklumat pinjaman Skim ini hendaklah diisytiharkan di dalam Perintah Bahagian Dua dan direkodkan di dalam rekod peribadi anggota di unit, Jabatan Arah/Cawangan (bagi Tentera Darat), Markas Perkhidmatan dan Jabatan Arah Rekod dan Pencen. Untuk tujuan ini, Setiausaha SPAAT akan mengeluarkan surat memaklumkan kepada pasukan. Format pengisytiharan adalah seperti contoh berikut:

GAJI DAN ELAUN

1.       Pinjaman TKAT

MEJ SEMAON BIN KOSMAN KPD

(7007007)

Diberi pinjaman TKAT di bawah Skim SPAAT sebanyak RM 18,000.00. Pembayaran balik sebanyak RM 300.00 sebulan bagi tempoh 60 bulan mulai dari Feb 2001.

Kuasa: Mesyuarat JK Eksekutif TKAT Ke-80 pada 18 Dis 2000.

25.     Keputusan Peperiksaan.  Peminjam (Kategori B) bertanggungjawab untuk memajukan keputusan peperiksaan setiap semester/sesi kepada Jabatan Arah Pendidikan. Kegagalan peminjam berbuat demikian boleh mengakibatkan pinjamannya ditahan.

PENUTUP

26.     Diharapkan Peraturan ini akan dapat membantu menyelaras dan melicinkan lagi pelaksanaan Skim ini dan sekali gus berjaya memberi manfaat yang maksimum kepada semua warga ATM dalam meringankan beban kewangan untuk membiayai anak-anak mengikuti pengajian di IPT awam dan swasta. 

Read 550 times Last modified on Friday, 17 March 2017 12:13
More in this category: SPAAT KEMBARAN B-Borang Permohonan »