Thursday, 15 September 2016 12:26

PERATURAN TAPAT

Written by
Rate this item
(0 votes)

 

PERATURAN SKIM TABUNG PINJAMAN AKADEMIK DAN

PENGAJIAN TINGGI ANGKATAN TENTERA (TAPAT)

AM

1.         Skim Tabung Pinjaman Akademik dan Pengajian Tinggi Angkatan Tentera (TAPAT) merupakan satu kemudahan untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan isteri/suami mereka membuat pinjaman kewangan bagi mengikuti pengajian tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta tempatan dan luar negara di dalam pelbagai bidang pengajian dan juga bagi pembiayaan yuran peperiksaan akademik, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan  Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pengendalian Skim ini adalah secara tabung pusingan iaitu pinjaman yang dikeluarkan akan dikutip balik dan digunakan semula untuk dipinjamkan kepada anggota-anggota lain yang berkelayakan.

2.         Dengan wujudnya Skim ini diharapkan ia akan dapat membantu meringankan beban kewangan anggota ATM dan isteri/suami mereka yang ingin belajar sendiri di IPT awam dan swasta serta anggota dan isteri/suami mereka yang ingin menduduki peperiksaan akademik (SPM dan STPM).

TUJUAN

3.         Peraturan ini bertujuan menetapkan prosedur dan mekanisme pelaksanaan Skim ini supaya ia dapat dilaksanakan dengan licin dan teratur.

AHLI JAWATANKUASA

4.         Senarai nama keanggotaan Ahli Jawatankuasa TAPAT seperti di Kembaran A.

DANA TABUNG

5.         Dana Tabung ini disediakan daripada Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

JENIS, PERINGKAT DAN TEMPAT PENGAJIAN

6.         Jenis Pengajian.       Pengajian yang boleh ditaja adalah seperti berikut:

            a.         Pengajian Secara Separuh Masa.   Ia adalah terbuka bagi anggota ATM dan isteri/suami mereka yang bekerja.

            b.         Pengajian Secara Sepenuh Masa.  Ia adalah terbuka bagi isteri/suami anggota ATM yang tidak bekerja.

7.            Peringkat dan Tempat.        Pinjaman Skim ini dikeluarkan bagi pengajian di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah yang ditawarkan di IPT awam dan swasta tempatan dan juga luar negara.  IPT dan program pengajian yang diikuti hendaklah diiktiraf oleh Unit Pengiktirafan Kelayakan Bahagian Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Bagi peperiksaan akademik iaitu SPM dan STPM ianya hendaklah diambil di tempat-tempat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran.

8.            Urusan Mendapatkan Tempat Di IPT.     Urusan memohon dan mendapatkan tempat di IPT adalah tanggungjawab pemohon.

 

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN

9.            Skim ini terbuka kepada anggota Angkatan Tetap ATM dan isteri/suami mereka yang telah ditawarkan tempat di IPT dan berkemampuan untuk membayar balik pinjaman dalam tempoh yang dibenarkan, dengan syarat tidak menerima sebarang pinjaman atau biasiswa daripada mana-mana agansi kerajaan atau swasta.

10.         Anggota dan isteri/suami mereka yang sedang mengikuti pengajian juga layak memohon tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa TAPAT. Bagi pemohon yang telah mendapat pinjaman daripada SPAAT, mereka masih boleh memohon mendapatkan kemudahan di bawah Skim ini dengan syarat berkemampuan membayar balik keseluruhan jumlah yang dipinjam. Jumlah pinjaman bagi kedua-dua Skim ini dihadkan kepada RM 30,000.00.

11.         Pemohon hendaklah mempunyai baki gaji minimum ( bagi askar lasykar ) setelah mengambil kira bayaran balik pinjaman Skim ini. Baki gaji minimum mengikut pangkat adalah seperti berikut:

a.         Pegawai Waran            -           RM 500.00.

b.         Staf Sarjan                   -           RM 400.00.

c.         Sarjan                          -           RM 350.00.

d.         Koperal ke bawah        -           RM 250.00.     

TATACARA PERMOHONAN PINJAMAN

12.         Borang Permohonan.  Permohonan pinjaman hendaklah dimajukan dengan menggunakan borang permohonan Tabung TAPAT seperti di Kembaran B. Setiap permohonan hendaklah menyertakan slip gaji asal, surat tawaran kursus berserta jadual yuran pengajian dan salinan Sijil/Kad Nikah (permohonan membiayai pengajian isteri/suami).

13.       Saluran Permohonan Pinjaman. Semua permohonan hendaklah dimajukan mengikut saluran melalui unit, Jabatan Arah/Cawangan (bagi Tentera Darat), Markas Perkhidmatan dan akhirnya kepada Jabatan Arah Pendidikan. 

14.       Tapisan Permohonan.  Setiap permohonan akan ditapis oleh Jawatankuasa TAPAT berasaskan syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan di atas.        

15.       Kuasa Kelulusan.  Jawatankuasa Eksekutif  TKAT.

BENTUK DAN KUANTUM PINJAMAN

16.       Bentuk.  Pinjaman yang dikeluarkan berbentuk pinjaman tanpa faedah dan dibayar balik secara ansuran bulanan melalui potongan gaji oleh UGAT.

17.        Kuantum Pinjaman.   Kuantum pinjaman diberikan seperti berikut:

a.         Bagi kursus pengajian tinggi, pinjaman yang diberi tertakluk kepada 80% daripada jumlah keseluruhan yuran pengajian atau RM 30,000.00 yang mana lebih rendah dan tidak termasuk kos-kos lain seperti elaun sara hidup, elaun buku, elaun tesis, elaun perjalanan, elaun latihan amali, elaun lebih masa dan sebagainya.

b.         Bagi peperiksaan akademik, hanya yuran peperiksaan akan dibiayai  pada kadar 100%.

            c.         Bagi peminjam yang telah mendapat pinjaman, mereka masih boleh dipertimbangkan untuk pinjaman kedua di mana jumlah pinjaman untuk kedua-dua      permohonan secara keseluruhannya tidak boleh melebihi RM 30,000.00.

PENGELUARAN PINJAMAN

18.       Pengeluaran pinjaman dilaksanakan secara berperingkat (progressive payments) berdasarkan yuran yang dituntut oleh IPT.  Dalam konteks ini, peminjam hendaklah mengemukakan invois/bil yuran pengajian daripada IPT kepada Jabatan Arah Pendidikan untuk disemak dan diproses bagi pembayaran.

19.       Berdasarkan kuantum pinjaman yang diluluskan, invois/bil tersebut seterusnya akan dimajukan oleh Jabatan Arah Pendidikan kepada Bendahari TKAT untuk urusan pengeluaran cek. Cek berkenaan akan dikeluarkan kepada peminjam atas nama IPT berkenaan.

20.       Bagi peperiksaan akademik pula, yuran peperiksaan dibayar terus kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.  Peminjam perlu memaklumkan kepada Jabatan Arah Pendidikan tarikh bayaran tersebut perlu dijelaskan.

BAYARAN BALIK PINJAMAN

21.       Bayaran Balik.   Tempoh bayaran balik maksimum adalah selama lima tahun (60 bulan).  Bayaran balik ini perlu diselesaikan tiga bulan sebelum tamat tempoh perkhidmatan peminjam. Walau bagaimanapun tempoh sebenar akan ditetapkan oleh Jawatankuasa TAPAT. Garis panduan tempoh pembayaran balik maksimum adalah seperti berikut:

a.         Diploma:

(1)       Pegawai                       -           48 bulan.

(2)       LLP                              -           60 bulan.

b.         Ijazah pertama dan ke atas:

(1)       Pegawai dan LLP          -           60 bulan.

22.       Potongan Gaji.  Potongan gaji akan dilaksanakan dua bulan selepas bayaran pertama (cek pertama) dikeluarkan.

PERLANJUTAN TEMPOH PENGAJIAN

23.       Bagi peminjam yang terpaksa melanjutkan tempoh pengajian atas sebab-sebab kegagalan akademik, masalah kesihatan, penangguhan pengajian dan sebagainya, tiada sebarang pinjaman tambahan diberi. Segala kos yuran tambahan tersebut adalah atas tanggungan sendiri.

PENTADBIRAN DAN DOKUMENTASI

24.       Dokumentasi.    Jabatan Arah Pendidikan adalah penyelaras kepada pengurusan Tabung ini.  Anggota yang ditawarkan pinjaman dikehendaki membuat proses dokumentasi di Sel Pengajian Tinggi, Jabatan Arah Pendidikan, Markas ATM.  Dokumen-dokumen yang perlu ditandatangani adalah:

a.         Perjanjian Pinjaman.   Peminjam dikehendaki menandatangani Perjanjian Pinjaman  dan membayar duti setem perjanjian. Contoh dokumen perjanjian TAPAT seperti di Kembaran C.  Dalam hal ini:

(1)       Perjanjian adalah di antara pemohon dan TKAT yang diwakili oleh Pegawai Yang Diberi Kuasa iaitu Setiausaha Jawatankuasa Eksekutif TKAT.

(2)       Perjanjian hendaklah disediakan dalam 5 salinan. Agihan seperti berikut:

(a)           Jabatan Arah Pendidikan.

(b)          Markas Perkhidmatan.

(c)           Jabatan Arah (Untuk Tentera Darat sahaja).

(d)          TKAT.

(e)           Pemohon.

b.         Surat Kebenaran Potongan Gaji. Peminjam dikehendaki menandatangani surat kebenaran potongan gaji oleh UGAT menggunakan borang Kembaran D.

25.       Rekod Maklumat.       Maklumat pinjaman Tabung ini hendaklah diisytiharkan di dalam Perintah Bahagian Dua dan direkodkan di dalam rekod peribadi anggota di unit, Jabatan Arah/Cawangan (bagi Tentera Darat), Markas Perkhidmatan dan Jabatan Arah Rekod dan Pencen. Untuk tujuan ini, Setiausaha TAPAT akan mengeluarkan surat memaklumkan kepada pasukan. Format pengisytiharan adalah seperti contoh berikut:

GAJI DAN ELAUN

1.         Pinjaman TKAT

MEJ SEMAON BIN KOSMAN     KPD

(7007007)

Diberi pinjaman TKAT di bawah Skim TAPAT sebanyak RM 18,000.00. Pembayaran balik sebanyak RM 300.00 sebulan bagi tempoh 60 bulan mulai dari Feb 2001.

Kuasa: Mesyuarat JK Eksekutif TKAT Ke-80 pada 18 Dis 2000.

26.       Keputusan Peperiksaan.  Peminjam dikehendaki memajukan keputusan peperiksaan setiap semester/sesi kepada Jabatan Arah Pendidikan. Kegagalan peminjam berbuat demikian boleh mengakibatkan pinjamannya ditahan.

PENUTUP

27.       Diharapkan Peraturan ini akan dapat membantu menyelaras dan melicinkan lagi pelaksanaan Skim ini dan sekali gus berjaya memberi manfaat yang maksimum kepada semua warga ATM. 

 

Read 492 times Last modified on Friday, 17 March 2017 12:25